Bersama Ustaz Ismail Bin Haji Awang
* Laman blog baru ini dibuka pada 30 Mei 2009 yang lalu sempena Hari Lahir Ana...
Semoga ianya memberi manafaat bersama... Selamat berkunjung...

RENUNGAN : ERTI BERJIHAD...

|

BERJIHAD MENURUT TAFSIR IALAH :-

1. Berperang dengan orang kafir dan munafik untuk menegakkan Islam dan melindungi orang-orang Islam.

2. Memerangi hawa nafsu dan syaitan.

3. Mendermakan harta benda untuk kebaikan islam dan umat Islam.

4. Membenteras yang batil dan menegakkan yang hak.

Allah SWT menimbulkan persoalan (tanda tanya) pada kita umat Islam, sudahkah kita berjihad dan bersabar? Kalau belum kamu lakukan itu maka jangan kamu fikir bahawa kamu akan dapat masuk syurga Allah di akhirat kelak.

Jika sudah maka kamu sebenarnya sedang fisabilillah. Berperang melawan kafir dan munafik adalah mudah. Yang susah ialah berperang dengan hawa nafsu dan syaitan. Kalau kita berjaya terhadap orang kafir tetapi tidak dengan nafsu, itu belum menjamin kita benar- benar bertaqwa.

Rasulullah SAW bersabda :

"Kita baru balik dari peperangan kecil untuk masuk ke satu peperangan yang lebih besar." Sahabat bertanya, "Peperangan apa itu, ya Rasulullah?" Baginda menjawab, "Peperangan hati yakni untuk melawan hawa nafsu. "

Rasulullah SAW bersabda :

" Dalam diri anak Adam itu ada seketul daging. Jika baik daging maka baiklah seluruh jasad. Bila busuk daging itu jahatlah seluruh jasad. Ketahuilah itulah hati."

Marilah kita tanyai diri kita sendiri : "Sudahkah aku melakukan jihad yang besar itu? Atau sudahkah aku perangi hawa nafsuku?"

Untuk menjawabnya tiliklah ke dalam hati kita apakah sentiasa ingat Allah atau selalu lalai? Apa sudah cinta Allah atau cinta dunia? Apakah sudah sabar atas ujian Allah atau masih memberontak terhadapnya? Apakah sudah bersih dari mazmumah-mazmumah lainnya atau masih lagi hasad dengki, benci membenci, minta puji, gila nama, tamak dan mementingkan diri sendiri?

Kalau hati masih berisi daki-daki dunia yang kotor itu, janganlah mimpi amalan-amalan lahir seperti sembahyang, puasa, zakat, haji, sedekah, berdakwah, menuntut ilmu, menutup aurat, baca quran, zikrullah dan lain-lain itu dapat menebus kita dari kebencian Allah dan api neraka. Cuba kita lihat firman Allah yang bermaksud:

"Hari itu (hari ketika meninggal dunia) harta dan anak tidak berguna lagi kecuali orang yang mengadap Allah membawa hati yang selamat (hati yang bersih dari segala kejahatannya dari sifat mazmumah). "Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman yang khusyuk dalam sembahyangnya. " (Asy-Syuaraa:88-89)

Ertinya kalau sembahyang tidak khusyuk tiada rasa hamba, itu tanda masih menderhaka. Bukan amalan lahir sahaja yang dapat membawa seseorang kepada keredhaan Allah dan syurga-Nya, tetapi yang lebih penting ialah amalan hati.

Sabda Rasulullah SAW :

"Allah tidak memandang rupa dan harta kamu, tetapi Allah memandang hati dan amalan kamu. "

Kalau hati kita beramal soleh dan lahir kita juga turut beramal soleh (sebab amalan lahir mengikut amalan batin umpama rakyat mengikut raja) itulah kesempurnaan amalan manusia yang dijamin dengan syurga.

Wallah hua'lam.

 

© Copyright 2009 • All Rights Reserved • Ustaz2u.com • Template and Design by Ustaz Ismail Haji Awang • Log-in