* Laman blog baru ini dibuka pada 30 Mei 2009 yang lalu sempena Hari Lahir Ana...
Semoga ianya memberi manafaat bersama... Selamat berkunjung...

HASIL DIDIKAN IBU YANG BERTAQWA.

|

"Ibu saya mengajar agar takut pada Tuhan sahaja,
bukan pada manusia"

.
Kisah 1 :-
.
Anak-anak orang mukmin sedang asyik bermain di pinggir Kota Madinah. Tiba-tiba suasana gempar seketika. Anak-anak tadi bertempiaran lari menyembunyikan diri. Mengapa?
.
Rupa-rupanya mereka melihat Sayidina Umar ibnu Khattab sedang berjalan melalui tempat mereka bermain. Anak-anak kecil itu gerun dengan sikap tegas yang ada dalam jiwa Umar.
.
Namun dalam kekalutan itu... ada seorang budak yang tidak ikut lari, bahkan terus bermain seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku.
.
Sayidina Umar melihat keberanian budak itu, lalu bertanya, "Mengapa engkau tidak lari bersama kawan-kawanmu?"
.
Anak itu menjawab dengan berani, "Ibu saya mengajar agar takut pada Tuhan sahaja, bukan pada manusia."
.
"Siapa namamu?"
.
"Abdullah bin Zubair"
.
Abdullah bin Zubair adalah anak Asma` binti Abu Bakar. Hasil didikan ibunya, bila Abdullah dewasa, ia menjadi seorang abid dan mujahid.
.
Kisah 2 :-
.
Suatu Hari Syeikh Abdul Qadir yang masih kecil keluar bermusafir untuk menuntut ilmu dengan berbekalkan wang emas 40 dinar yang disimpan di dalam tali pinggangnya. Dia menumpang satu kafilah yang hendak menuju ke tempat yang sama.
.
Di tengah perjalanan, sekumpulan perompak telah menyerang dan rnerampas harta benda kafilah itu.
.
Salah seorang perompak ternampak Syeikh Abdul Qadir lalu sengaja bertanya, "Hai budak, apa yang kamu ada?"
.
"Aku ada 40 dinar," kata Syeikh Abdul Qadir.
.
Perompak itu tidak percaya dan terus meninggalkannya.
Beberapa orang perompak lain bertanya soalan seperti itu dan mendapat jawapan yang sama, lalu mereka membawanya berjumpa ketua mereka. Ketua perompak itu menyuruhnya membuka tali pinggangnya. Syeikh Abdul Qadir pun membukanya dan menunjukkan wang 40 dinar.
.
Ketua perompak itu hairan lalu bertanya, "Mengapa engkau memberitahu kami?"
.
"Ibuku selalu berpesan agar sentiasa berkata benar walau dalam keadaan apa sekalipun. Dan aku takut untuk menderhakai perintahnya."
.
Si perompak terkejut mendengar kata-kata tersebut dari seorang budak. Dia merasa insaf lalu bertaubat dan mengajak seluruh kawannya bertaubat serta memulangkan harta benda yang mereka rampas kepada kafilah itu.
.
________________________________________________________________
.
Sekali baca sahaja, kita boleh lihat keluarbiasaan yang ada pada diri mereka. Mereka terpilih untuk menghiasai lembaran sejarah Islam kerana memiliki kekentalan jiwa dan cita-cita yang sungguh tinggi dan mulia. Mereka langsung tidak menampakkan apa-apa kepentingan peribadi dalam mendidik anak-anak mereka. Malah mereka rela terkorban dan hidup susah asalkan anak mereka dapat menyumbangkan sesuatu yang besar untuk agama tercinta. Besarnya jiwa mereka, maka layaklah mereka menjadi tokoh ibu mithali yang sebenarnya. Adakah ibu yang boleh melakukan sedemikian rupa di waktu ini? Iaitu ibu yang sanggup melihat diri dan anaknya sendiri terkorban demi mengagungkan Tuhan dan agama-Nya yang mulia? Rupa-rupanya berjaya mendidik anak agar terjamin masa depan kita dan anak-anak kita masih terlalu jauh dari melayakkan seseorang mendapatkan gelaran ibu mithali menurut kacamata agama. Kerana inilah, sejarah Islam tidak merakamkan tentang ibu yang berjaya mendidik anaknya menjadi orang yang berpangkat, berharta dan kaya raya sebagai tokoh ibu mithalinya.
.
Tuhan tidak memandang kepada rupa lahir dan harta kekayaan.
Firman Allah SWT yang bermaksud : Allah tidak memandang rupa lahir kamu tetapi Allah memandang amalan dan hati kamu.
.
Dalam Islam, berjayanya seorang ibu ialah bilamana dia berjaya mendidik anaknya menjadi sebaik-baik hamba Tuhan, yang beramal dengan sebaik-baik amalan dan berjuang untuk menegakkan agama-Nya. Kalaupun anaknya itu tidak berharta, tetapi ibu itu tetap dianggap berjaya kalau dia berjaya mendidik anaknya menjadi hamba Allah yang taat setia dan sanggup berkorban apa sahaja untuk Tuhannya .
.
Apalah ertinya menjadi doktor atau peguam tetapi derhaka kepada Tuhan? Apalah ertinya menjadi hartawan yang kaya raya tetapi masih sanggup melihat orang lain hidup susah dan menderita? Ibu mithali dalam Islam sebenarnya tidak akan rugi apa-apa sekiranya anak-anaknya itu tidak dapat membalas jasanya di usia tua. Mendidik anak sehingga menjadi hamba Tuhan yang sebaik-baiknya pastinya akan memberikan ganjaran yang tiada tandingnya di Akhirat nanti. Inilah ibu mithali yang perlu kita contohi, iaitu ibu yang lebih melihat kepentingan Tuhan dan agama-Nya serta kehidupan di Akhirat yang kekal abadi.
.
" Kasih sayang ibu dan ayah utamakan Akhirat, dunia tidak diabaikan..... Cintakan Tuhan, takutkan-Nya, taat kepada-Nya... Diasuh berakhlak mulia, tanam kasih sayang sesama manusia....."
.
Dari kecil lagi mendidik anak-anak itu hendaklah kenalkan Tuhan, mencintai dan menakuti-Nya.Dari kecil lagi jangan terlalu dibelai dan dimanjakan. Kalau memarahinya jangan keterlaluan sampai hilang pertimbangan, jangan kerap pula dilakukan. Atau tidak pernah dimarahi, kejahatan dibiarkan berpanjangan. Sayangnya kita kepada anak itu jangan terlalu dinampakkan. Apa sahaja kehendak anak-anak ditunaikan tanpa dipersoalkan.Jangan dididik dengan duit keterlaluan dan berlebih-lebihan.
.
Begitulah juga jangan pakaian berlebih-lebihan hingga pembaziran. Kalau sekadar yang diperlukan itu tidak mengapa bahkan itu adalah kewajipan. Sembahyang dari kecil lagi diajar dan disuruh dirikan. Jangan setelah dewasa barulah hendak diperintahkan . Padahal sembahyang itu dari kecil lagi mesti dibiasakan. Supaya setelah dewasa ia telah mendarah mendaging, payah hendak ditinggalkan. Begitulah juga halal haram pantang-larang Tuhan dari kecil lagi diajarkan. Minta mereka tinggalkan.Mana yang disuruh Tuhan dari kecil lagi diajarkan dan diamalkan. Setelah dewasa mereka mudah meneruskan kerana sudah kebiasaan.
.
Dari kecil lagi pergaulan bebas dibataskan. Kalau hendak keluar rumah hendaklah dipersoalkan, balik ditanyakan mengapa lambat pulang hingga larut malam. Didik mereka memilih kawan yang beragama dan takutkan Tuhan. Silap pilih kawan, ia akan merosakkan.Latih dari kecil lagi memasak, mengemas rumah, cintakan ilmu dengan banyak membaca ilmu pengetahuan. Latih mereka hidup berdisiplin ada time ibadah, ada time membaca, ada time makan, ada time rehat, ada time bermain ada time berjalan. Setelah dewasa kelak mereka akan menjadi bangsa yang ada disiplin hidup yang berkekalan.
.
Disiplin itulah menjadikan bangsa itu beragama, rajin, maju, bersatu, rasa bersama bekerjasama dan berwibawa. Bangsa itu akan kuat, disegani dan dihormati serta diikuti.Latih dari kecil lagi makan bersama, sembahyang bersama, bekerjasama dan dengan jiran dihormati dan diperhati. Didik anak-anak selepas Subuh dan Asar jangan dibenarkan tidur kecuali perlu kerana ia akan melemahkan akal fikiran menjadi manusia pemalas. Dari kecil lagi didik hormati ibu bapa. Berkasih sayang dengan saudara-mara dan keluarga, hubungkan silaturrahim dengan sanak saudara. Berkawan hendaklah setia, utamakan kawan dari diri kita.
.
Wallah hua'lam.

RENUNGAN : ERTI BERJIHAD...

|

BERJIHAD MENURUT TAFSIR IALAH :-

1. Berperang dengan orang kafir dan munafik untuk menegakkan Islam dan melindungi orang-orang Islam.

2. Memerangi hawa nafsu dan syaitan.

3. Mendermakan harta benda untuk kebaikan islam dan umat Islam.

4. Membenteras yang batil dan menegakkan yang hak.

Allah SWT menimbulkan persoalan (tanda tanya) pada kita umat Islam, sudahkah kita berjihad dan bersabar? Kalau belum kamu lakukan itu maka jangan kamu fikir bahawa kamu akan dapat masuk syurga Allah di akhirat kelak.

Jika sudah maka kamu sebenarnya sedang fisabilillah. Berperang melawan kafir dan munafik adalah mudah. Yang susah ialah berperang dengan hawa nafsu dan syaitan. Kalau kita berjaya terhadap orang kafir tetapi tidak dengan nafsu, itu belum menjamin kita benar- benar bertaqwa.

Rasulullah SAW bersabda :

"Kita baru balik dari peperangan kecil untuk masuk ke satu peperangan yang lebih besar." Sahabat bertanya, "Peperangan apa itu, ya Rasulullah?" Baginda menjawab, "Peperangan hati yakni untuk melawan hawa nafsu. "

Rasulullah SAW bersabda :

" Dalam diri anak Adam itu ada seketul daging. Jika baik daging maka baiklah seluruh jasad. Bila busuk daging itu jahatlah seluruh jasad. Ketahuilah itulah hati."

Marilah kita tanyai diri kita sendiri : "Sudahkah aku melakukan jihad yang besar itu? Atau sudahkah aku perangi hawa nafsuku?"

Untuk menjawabnya tiliklah ke dalam hati kita apakah sentiasa ingat Allah atau selalu lalai? Apa sudah cinta Allah atau cinta dunia? Apakah sudah sabar atas ujian Allah atau masih memberontak terhadapnya? Apakah sudah bersih dari mazmumah-mazmumah lainnya atau masih lagi hasad dengki, benci membenci, minta puji, gila nama, tamak dan mementingkan diri sendiri?

Kalau hati masih berisi daki-daki dunia yang kotor itu, janganlah mimpi amalan-amalan lahir seperti sembahyang, puasa, zakat, haji, sedekah, berdakwah, menuntut ilmu, menutup aurat, baca quran, zikrullah dan lain-lain itu dapat menebus kita dari kebencian Allah dan api neraka. Cuba kita lihat firman Allah yang bermaksud:

"Hari itu (hari ketika meninggal dunia) harta dan anak tidak berguna lagi kecuali orang yang mengadap Allah membawa hati yang selamat (hati yang bersih dari segala kejahatannya dari sifat mazmumah). "Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman yang khusyuk dalam sembahyangnya. " (Asy-Syuaraa:88-89)

Ertinya kalau sembahyang tidak khusyuk tiada rasa hamba, itu tanda masih menderhaka. Bukan amalan lahir sahaja yang dapat membawa seseorang kepada keredhaan Allah dan syurga-Nya, tetapi yang lebih penting ialah amalan hati.

Sabda Rasulullah SAW :

"Allah tidak memandang rupa dan harta kamu, tetapi Allah memandang hati dan amalan kamu. "

Kalau hati kita beramal soleh dan lahir kita juga turut beramal soleh (sebab amalan lahir mengikut amalan batin umpama rakyat mengikut raja) itulah kesempurnaan amalan manusia yang dijamin dengan syurga.

Wallah hua'lam.

 

© Copyright 2009 • All Rights Reserved • Ustaz2u.com • Template and Design by Ustaz Ismail Haji Awang • Log-in